
Menurut kenyataan dimuat naik bersama dengan video dan gambar di X, pegawai pengawal pantai Filipina Jay Tarriela berkata, tindakan melulu dan menyalahi undang-undang oleh pengawal pantai China membawa kepada perlanggaran yang menyebabkan kerosakan kecil struktur pada sebuah kapal Filipina, MRRV-4407.
Tarriela mengenal pasti kapal pengawal pantai China itu sebagai 21555.
Beliau berkata, pengawal pantai Filipina telah mengerahkan dua kapal, BRP CABRA dan BRP SINDANGAN untuk menyokong Operasi Penggiliran dan Bekalan Semula Angkatan Bersenjata Filipina.
Sepanjang operasi itu, pegawai Filipina berkenaan mendakwa pengawal pantai Filipina menghadapi gerakan berbahaya dan halangan dari kapal pengawal pantai China dan Militia Maritim China.
Sementara itu dalam kenyataan, pengawal pantai China berkata pihaknya secara sah mengambil langkah kawalan terhadap kapal Filipina itu selepas ia memasuki perairan bersebelahan Ren’ai Jiao di Kepulauan Nansha.
Beijing dan Manila mempunyai tuntutan maritim bertindih terhadap Second Thomas Shoal yang juga dikenali sebagai Beting Ayungin, Bai Co May, dan Ren’ai Jiao di Kepulauan Spratly.
Kepulauan Nansha merupakan sebahagian daripada Kepulauan Spratly.
Insiden itu berlaku sehari selepas Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr, berkata Manila tidak akan berganjak daripada hak kedaulatannya di Laut China Selatan, juga dikenali sebagai Laut Filipina Barat.