
Kejadian itu berlaku pada Selasa di lombong “Bulla Loca”, negeri Bolivar, perjalanan bot selama tujuh jam dari bandar terdekat, La Paragua.
Datuk Bandar Angostura, Yorgi Arciniega memberitahu AFP pada lewat Rabu, 23 mayat ditemui, termasuk 15 yang tiba dengan bot di La Paragua dan kira-kira lapan lagi dalam perjalanan.
Timbalan Menteri Perlindungan Sivil, Carlos Perez Ampueda memuat naik video kejadian itu di X tanpa memberikan jumlahnya. Menurut pegawai, kira-kira 200 orang dikatakan bekerja di lombong itu.
Video itu menunjukkan puluhan orang bekerja di perairan cetek lombong terbuka dengan tanah runtuh secara perlahan-lahan. Ada yang berjaya melarikan diri.
Terdahulu, Arciniega dilaporkan berkata 15 orang cedera, dengan empat dibawa menggunakan bot ke La Paragua pada petang Rabu untuk menerima rawatan.
Setiausaha Keselamatan Bolivar, Edgar Colina Reyes berkata, mangsa cedera dibawa ke hospital di ibu kota wilayah Ciudad Bolivar, empat jam perjalanan dari La Paragua, kira-kira 750km tenggara dari ibu kota Caracas.
Katanya, pasukan tentera, bomba dan organisasi lain “ke kawasan itu melalui udara” untuk menilai keadaan.
Pasukan penyelamat turut diterbangkan dari Caracas untuk membantu operasi pencarian.
“Kami sedang menilai kerosakan dan melakukan analisis menyelamat,” kata Ampueda.
Disember lalu, sekurang-kurangnya 12 maut apabila sebuah lombong di penempatan Orang Asli Ikabaru, di wilayah yang sama, runtuh.
Rantau Bolivar kaya dengan emas, berlian, besi, bauksit, kuarza dan coltan. Selain lombong kerajaan, terdapat juga industri pengekstrakan haram yang berkembang pesat.