Kanada, Australia, NZ gesa gencatan senjata segera di Gaza

Kanada, Australia, NZ gesa gencatan senjata segera di Gaza

Ini menyusul laporan rancangan Israel melancarkan operasi ketenteraan di Rafah.

Lebih 28,000 maut, manakala 68,000 lagi cedera di Gaza sejak 7 Okt 2023. (Gambar AP)
SYDNEY:
Pemimpin Kanada, Australia dan New Zealand pada Khamis menggesa gencatan senjata kemanusiaan segera di Gaza, menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan susulan laporan mengenai rancangan Israel melancarkan operasi ketenteraan di Rafah.

“Kami sangat bimbang dengan petanda Israel merancang serangan darat ke atas Rafah. Operasi ketenteraan di Rafah akan menjadi malapetaka.

“Gencatan senjata kemanusiaan segera diperlukan,” menurut kenyataan perdana menteri tiga negara itu.

Israel akan meneruskan serangan ke atas Hamas di Rafah, tempat perlindungan terakhir bagi penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal di selatan Gaza, selepas orang awam mengosongkan kawasan itu, kata Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu semalam.

Kenyataan itu menggesa Israel tidak melancarkan serangan berkenaan, namun katanya, sebarang gencatan senjata tidak boleh dilakukan “sebelah pihak” dan memerlukan Hamas melucutkan senjata serta segera membebaskan semua baki tebusan.

Mereka berkata, dalam kes pembunuhan beramai-ramai yang dikemukakan Afrika Selatan, Mahkamah Keadilan Antarabangsa pada Januari lalu memutuskan Israel wajib melindungi orang awam dan menyampaikan perkhidmatan asas serta bantuan kemanusiaan.

“Melindungi orang awam paling penting dan satu keperluan di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa. Rakyat Palestin tidak boleh dipaksa berkorban demi mengalahkan Hamas.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.