
Dalam surat dihantar kepada Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan Menteri Pertahanan Yoav Galant, IFJ menyatakan 600,000 ahlinya menganggap wartawan di Gaza sebagai rakan sekerja mereka, lapor Agensi Berita WAFA.
IFJ turut menegaskan bahawa Perlembagaan Persekutuan Wartawan Antarabangsa menjamin perlindungan kebebasan akhbar, hak wartawan, dan kemerdekaan kewartawanan.
“Persatuan Wartawan Palestin satu daripada ahli kami dan wartawan dari 140 kesatuan di seluruh dunia menganggap wartawan Palestin sebagai rakan sekerja mereka,” menurut kandungan surat itu.
ICJ sebelum ini memerintahkan Israel mengambil langkah sewajarnya menghalang semua pelakuan dan tindakan pembunuhan beramai-ramai yang dilarang Konvensyen Genosid dan melaporkan kembali kepada mahkamah dalam tempoh sebulan mengenai pelaksanaan langkah-langkah sementara itu.
Undang-undang antarabangsa memerlukan negara melakukan segala-galanya dalam kuasa mereka untuk melindungi orang awam dan wartawan di zon perang mesti dilayan seperti orang awam serta dilindungi.
“Kami menggesa anda untuk komited dan mengeluarkan dasar serta prosedur untuk memastikan tentera Israel mematuhi tuntutan itu.
“Jika ini tidak berlaku, kami tidak akan teragak-agak untuk memfailkan saman di mahkamah antarabangsa terhadap ahli politik dan komander tentera Israel,” tegas IFJ.
Persekutuan itu turut menggesa 187 ahli gabungan untuk melakukan perkara yang sama, sebagaimana dibenarkan mekanisme kehakiman negara.
IFJ bimbang dengan peningkatan jumlah wartawan yang terbunuh di Gaza, sejak 7 Okt.
Jumlah itu menyumbang hampir 10% daripada semua wartawan yang bekerja di Gaza.
Menurut laporan media, dua lagi wartawan Palestin terbunuh dalam serangan udara Israel di Semenanjung Gaza pada Isnin, menjadikan angka korban kini mencecah 122 orang.