12 ditahan atas kebakaran ragut 39 nyawa di China

12 ditahan atas kebakaran ragut 39 nyawa di China

Pihak berkuasa tempatan berkata, punca kebakaran akibat penggunaan api secara 'haram' oleh pekerja di tingkat bawah tanah kedai itu.

Pasukan bomba memeriksa kerosakan selepas kebakaran di Jiangxi semalam. (Gambar Xinhua/AP)
BEIJING:
Polis menahan 12 suspek atas dakwaan peranan mereka dalam kebakaran maut di wilayah Jiangxi, China, lapor media kerajaan hari ini.

Sekurang-kurangnya 39 maut dan sembilan lagi cedera selepas sebuah kedai di bandar Xinyu terbakar semalam.

Presiden, Xi Jinping menggesa “muhasabah mendalam” selepas kebakaran itu dan usaha lebih baik bagi “membendung kemalangan keselamatan kerap berlaku”.

Agensi berita kerajaan Xinhua memetik pihak berkuasa tempatan melaporkan punca kebakaran akibat penggunaan api secara “haram” oleh pekerja di tingkat bawah tanah kedai itu.

“Asap tebal kemudian menyelubungi tingkat satu dan dua menyebabkan pelajar di kemudahan latihan serta orang ramai di sebuah hotel terperangkap,” kata Datuk Bandar Xu Hong dipetik Xinhua.

Kebakaran semalam menyusul beberapa hari selepas kebakaran lewat petang di sebuah sekolah di wilayah Henan, tengah China yang mengorbankan 13 pelajar.

November lalu, 26 maut dan berpuluh-puluh lagi dihantar ke hospital selepas pejabat sebuah syarikat arang batu terbakar di wilayah Shanxi, utara China.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.