Sistem Microsoft digodam sejak akhir November

Sistem Microsoft digodam sejak akhir November

Serangan terhadap e-mel pegawai kanan Microsoft itu dipercayai bermula pada akhir November tahun lepas dan dikesan pada 12 Jan.

Microsoft berkata, serangan siber penggodam dipercayai mempunyai kaitan dengan Rusia itu bukan disebabkan kelemahan sistem atau perkhidmatannya. (Gambar AP)
SAN JOSE:
Penggodam yang dipercayai mempunyai kaitan dengan Rusia dilaporkan telah menggodam e-mel beberapa pegawai kanan Microsoft, menurut gergasi perisian Amerika Syarikat itu pada Jumaat, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Serangan itu dipercayai bermula pada akhir November dan dikesan pada 12 Jan, menurut Microsoft dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Penggodam turut memuat turun beberapa dokumen yang terdapat dalam e-mel tersebut, namun Microsoft tidak memberi butiran lanjut.

Akaun e-mel milik ahli korporat pasukan keselamatan siber dan undang-undang Microsoft turut diakses.

“Microsoft mengenal pasti penggodam sebagai Midnight Blizzard juga dikenali sebagai Nobelium,” menurut syarikat AS itu.

Jumlah akaun pekerja yang terjejas masih belum dapat dipastikan namun Microsoft menegaskan bahawa peratusannya sangat kecil.

Sehingga 30 Jun, syarikat itu mempunyai kira-kira 221,000 pekerja.

Microsoft berkata, serangan itu bukan disebabkan kelemahan sistem atau perkhidmatannya.

“Sehingga kini, tiada bukti bahawa penggodam mempunyai sebarang akses kepada data pelanggan, sistem pengeluaran, kod sumber atau sistem AI (kecerdasan buatan),” menurut syarikat itu.

Microsoft memaklumkan bahawa penggodam pada mulanya menyasarkan akaun yang mempunyai maklumat berkaitan Midnight Blizzard.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.