
Iswaran, yang meletak jawatan sebagai menteri Kabinet dan ahli Parti Tindakan Rakyat (PAP), berdepan 24 pertuduhan mendapat suapan sebagai penjawat awam, dua dakwaan rasuah dan satu pertuduhan menghalang proses keadilan.
Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan itu.
CNA melaporkan semua 27 pertuduhan itu membabitkan taikun hartanah, Ong Beng Seng yang turut ditahan pada Julai 2023 dalam siasatan rasuah.
Bekas menteri itu didakwa menerima 16 tiket perlawanan Arsenal menentang Tottenham Hotspur, West Ham United dan Everton; Chelsea dan Southampton, Arsenal dan Liverpool serta Chelsea menentang Manchester City.
Semua tiket itu bernilai £2,938 (RM17,570).
Iswaran turut didakwa menerima tiket ke Grand Prix F1 Singapura yang keseluruhannya bernilai kira-kira SGD201,718 (RM708,000).
Dia juga didakwa menerima tiket ke persembahan teater di UK bagi Harry Potter and the Cursed Child, Back to the Future, School of Rock dan Hamilton, antara lain yang didakwa bernilai lebih £5,300.
Tiket perlawanan bola sepak, GP Singapura dan teater itu dikatakan diberi kepada Iswaran antara November 2015 hingga Disember 2021.
Bagi pertuduhan pertama, Iswaran didakwa mendapat pelbagai tiket ke GP Singapura bernilai SGD145,434 daripada Ong pada September 2022 sebagai balasan untuk membantu taikun itu memperoleh kontrak antara GP Singapura dan Lembaga Pelancongan Singapura (STB).
Dia turut didakwa mendapatkan penerbangan ke Doha atas jet peribadi Ong, penginapan satu malam di Hotel Four Seasons Doha dan penerbangan kelas perniagaan dari Doha ke Singapura daripada Ong pada Disember 2022.
Suapan itu juga dikatakan sebagai balasan untuk membantu hartawan terbabit dalam kontrak berkaitan perjanjian antara GP Singapura dan STB.
Pertuduhan menghalang proses keadilan Iswaran pula berkaitan dakwaan pembayaran balik kira-kira SGD5,700 kepada GP Singapura pada Mei 2023 yang dikatakan kos penerbangan perniagaannya dari Doha ke Singapura.
Hakim daerah Brenda Tan menetapkan 1 Mac ini untuk sidang prabicara.