Thailand mahu perkenal visa Muay Thai

Thailand mahu perkenal visa Muay Thai

Kerajaan Thailand sedia menawarkan individu berminat mempelajari Muay Thai visa khas 90 hari, berbanding visa standard 60 hari, kata PM.

Dengan visa khas Muay Thai, pelancong boleh berada di Thailand selama 90 hari, menurut kerajaan Thailand. (Gambar Bernama)
BANGKOK:
Thailand berhasrat memperkenalkan visa Muay Thai dalam usaha meningkatkan pelancongan sukan dan pertukaran budaya untuk mengukuhkan ekonomi negara dan menonjolkan aktiviti kuasa lembut (soft power).

Perdana Menteri Srettha Thavisin berkata, kerajaan Thailand sedia menawarkan individu yang berminat untuk mempelajari Muay Thai dengan visa khas 90 hari (berbanding visa standard 60 hari).

“Kami tidak hanya memikirkan untuk memberikan visa khas buat Muay Thai tetapi juga untuk aktiviti ‘soft power’ lain seperti tarian dan muzik Thailand, selain cara memasak makanan Thailand.

“Kami bersedia untuk menyokong inisiatif-inisiatif itu. Kami sedang bersiap sedia untuk mempertimbangkan pemberian visa khas selepas ini,” katanya di X.

Penasihat kepada perdana menteri dan pengerusi jawatankuasa khas kerajaan untuk menggalakkan aktiviti berkaitan sukan Pimol Srivikorn menjelaskan, dengan visa khas untuk mempelajari Muay Thai, pelancong boleh berada di Thailand selama 90 hari.

“Kerajaan akan menetapkan tahap standard yang perlu dicapai di kelas dan juga pensijilan untuk guru Muay Thai supaya seni tempur negara dapat disebarkan dengan tepat ke seluruh dunia,” katanya.

Kerajaan Thailand sedang berusaha mempromosikan aktiviti kuasa lembutnya secara global dalam 11 industri untuk mewujudkan lebih 20 juta pekerjaan dan menjana pendapatan empat trilion baht setahun.

Sebelas industri itu terdiri daripada pelancongan, festival, sukan, masakan, filem, muzik, seni, buku, permainan, reka bentuk dan fesyen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.