Rabai protes di PBB gesa gencatan senjata di Gaza

Rabai protes di PBB gesa gencatan senjata di Gaza

Kumpulan rabai AS itu dilaporkan memasuki bangunan PBB menerusi lawatan berkumpulan.

Protes menggesa gencatan senjata di Gaza berlangsung di banyak kawasan AS baru-baru ini. (Gambar AP)

PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU: Lebih 30 rabai dan pelajar dari pertubuhan Amerika Syarikat mengadakan protes di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada Selasa menggesa gencatan senjata di Gaza dan kerajaan AS tidak memveto resolusi itu dalam Majlis Keselamatan.

Protes itu dianjurkan kumpulan Yahudi AS, termasuk Jewish Voice for Peace, Jews for Racial and Economic Justice, serta Rabbis for Ceasefire. Catatan media sosial kumpulan itu memaklumkan 36 rabai menyertai demonstrasi dalam Dewan Majlis Keselamatan PBB.

The Huffington Post melaporkan rabai itu memasuki bangunan terbabit menerusi lawatan berkumpulan.

PBB menuntut gencatan senjata kemanusiaan segera di Gaza, tetapi Washington memveto resolusi untuk gesaan sedemikian dalam Majlis Keselamatan dengan berkata, ia akan membenarkan Hamas yang mentadbir Gaza, berkumpul dan membina semula.

Lebih tiga perempat daripada 193 anggota Perhimpunan Agung PBB menyokong langkah menuntut gencatan senjata kemanusiaan segera pada bulan lalu.

Penunjuk perasaan di PBB membawa sepanduk berbunyi “Biden: Dunia mahu gencatan senjata” dan “Biden: Henti veto keamanan”.

Protes gencatan senjata berlangsung di banyak kawasan AS baru-baru ini, termasuk berdekatan lapangan terbang dan jambatan di New York serta Los Angeles, di luar Rumah Putih dan perarakan di Washington dekat US Capitol.

Isnin lalu, ucapan Biden di sebuah gereja di Carolina Selatan diganggu penunjuk perasaan yang menuntut gencatan senjata di Gaza.

Katanya, beliau sudah menggesa Israel mengurangkan serangannya dan “berundur secara ketara dari Gaza”.

Serangan Israel ke atas Gaza mengorbankan lebih 23,000 rakyat Palestin, kira-kira 1% daripada 2.3 juta populasinya, menurut Kementerian Kesihatan Gaza.

Sebahagian besar kawasan berpenduduk padat di Gaza musnah akibat pengeboman Israel, selain timbul isu kebuluran disebabkan kekurangan makanan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.