3 maut dalam ribut tenggara AS, Florida isytihar darurat

3 maut dalam ribut tenggara AS, Florida isytihar darurat

Gabenor Florida Ron DeSantis mengisytiharkan darurat selepas beberapa siri puting beliung melanda menyebabkan kerosakan besar di negeri itu.

Ribut yang melanda bahagian tenggara AS pada awal pagi Selasa merosakkan bangunan, menumbangkan pokok dan menyebabkan ribuan penduduk terputus bekalan elektrik. (Gambar AP)
WASHINGTON:
Sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh berikutan cuaca buruk yang melanda sebahagian besar kawasan Tenggara Amerika Syarikat pada Selasa.

Perkembangan itu memaksa Gabenor Florida Ron DeSantis mengisytiharkan darurat selepas beberapa siri puting beliung melanda menyebabkan kerosakan besar di negeri itu.

Peramal cuaca memberikan amaran, lebih banyak puting beliung akan berlaku seperti yang diramalkan dari Florida hingga Virginia, lapor United Press International (UPI).

DeSantis, yang mengisytiharkan darurat bagi 49 daripada 67 daerah di Florida turut mengerahkan pasukan pertahanan negeri, Florida State Guard, pada Isnin.

Ribut yang melanda pada awal pagi Selasa merosakkan bangunan, menumbangkan pokok dan menyebabkan ribuan penduduk terputus bekalan elektrik di beberapa negeri.

Seorang wanita berusia 81 tahun meninggal dunia di Alabama dan beberapa bangunan musnah selepas puting beliung dilaporkan melanda Cottonwood.

Menurut polis, seorang lelaki juga terbunuh di utara Georgia selepas keretanya dihempap pokok tumbang di Clayton County.

Selain itu, mangsa ketiga dilaporkan terbunuh di Claremont, Carolina Utara selepas kawasan itu dilanda angin kencang yang merosakkan beberapa kediaman.

Walaupun tiada kematian dilaporkan di Florida, beberapa orang penduduk dilaporkan cedera di bandar Marianna.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.