Konflik RSF: Sudan isytihar darurat di Al-Qadarif

Konflik RSF: Sudan isytihar darurat di Al-Qadarif

RSF sebelum ini menyerang bandar strategik Wad Madani di al-Jazirah iaitu kawasan 'pembekal gandum Sudan'.

Pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) kini telah menguasai jalan antara negeri timur al-Jazirah dan al-Qadarif. (Gambar Reuters)

PELABUHAN SUDAN (Sudan): Sudan mengisytiharkan darurat di wilayah al-Qadarif selepas pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) menguasai jalan antara negeri timur al-Jazirah dan al-Qadarif, berhampiran ibu negara Khartoum.

Gabenor wilayah yang terlibat dalam konflik dengan RSF sejak April, berkata darurat diisytiharkan di bawah undang-undang mengenai kecemasan dan keselamatan awam, lapor Agensi Anadolu.

Sebarang pergerakan di jalan raya, demonstrasi dan operasi perniagaan di wilayah itu dilarang dari 6 petang hingga 6 pagi waktu tempatan sehingga diberitahu kelak.

Berikutan pertempuran sengit bermula pada 15 Dis antara tentera dan RSF di kawasan luar bandar Wad Madani, keadaan darurat diisytihar di negeri al-Jazirah.

Buat kali pertama sejak konflik tercetus, RSF menyerang Wad Madani iaitu bandar strategik al-Jazirah yang turut dikenali sebagai ‘pembekal gandum Sudan’.

Lebih 12,000 orang terbunuh, manakala lebih 33,000 cedera setakat ini akibat konflik itu, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Kira-kira 25 juta, iaitu separuh daripada penduduknya memerlukan bantuan kemanusiaan manakala tujuh juta rakyat hilang tempat tinggal atau melarikan diri ke negara jiran.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.