83 warga Thai, 3 rakyat Malaysia terkandas di Myanmar diterbangkan ke Bangkok

83 warga Thai, 3 rakyat Malaysia terkandas di Myanmar diterbangkan ke Bangkok

Mereka akan diterbangkan dengan penerbangan sewa Thai Lion Air dan dijangka tiba pada 1.40 pagi (waktu tempatan) pada Isnin.

Sekumpulan warga Thailand dan tiga rakyat Malaysia yang terkandas di Laukkaing, Myanmar akan diterbangkan ke Bangkok susulan pergolakan di wilayah itu. (Gambar Wikipedia)
BANGKOK:
Sekumpulan 83 warga Thailand dan tiga rakyat Malaysia yang terkandas di Laukkaing, utara Myanmar berikutan pergolakan di wilayah itu akan diterbangkan ke Bangkok pada Isnin.

Kementerian Luar Thailand berkata Kedutaan Diraja Thailand (RTE) di Yangon yang menyelaras dengan agensi-agensi berkaitan dan negara-negara jiran berjaya membantu kumpulan itu meninggalkan Laukkaing.

“Kumpulan itu kini selamat berlepas dari Myanmar dan akan diterbangkan ke Thailand dengan penerbangan sewa Thai Lion Air dan dijangka tiba pada 1.40 pagi (waktu tempatan) pada Isnin.

“Polis akan memudahkan prosedur kemasukan mereka dan memulakan saringan pemerdagangan orang melalui Mekanisme Rujukan Kebangsaan (NRM) serta untuk rekod jenayah,” menurut Kementerian Luar Thailand dalam satu kenyataan.

Bernama difahamkan terdapat tiga rakyat Malaysia dalam kumpulan itu yang akan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang pada Isnin.

Berikutan pertempuran sengit antara tentera junta dan kumpulan bersenjata etnik di Myanmar, Thailand memindahkan lebih 200 warga Thailand dari Laukkaing.

Pada 1 Dis, seramai 121 rakyat Malaysia berumur antara 20-an dan 50-an, kebanyakannya mangsa penipuan pekerjaan yang terkandas di Laukkaing dipindahkan dan dibawa pulang.

Mereka termasuk seorang warga Indonesia diterbangkan ke Malaysia melalui penerbangan khas AirAsia dari Kunming, China.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.