
Kementerian dalam kenyataan berkata Adam al-Ghul, lapan, dan Bassem Abu el-Wafa, 15, “mati ditembak peluru penjajah”.
Rakaman CCTV yang tular dalam talian dan disiar rangkaian televisyen menunjukkan seorang budak lelaki rebah ditembak di jalan menyebabkan kanak-kanak lain bertempiaran lari.
Imej lain turut menunjukkan seorang remaja rebah selepas ditembak dan dilihat meminta bantuan, namun tembakan terus dilepaskan berhampirannya manakala orang ramai dilihat berlari mendapatkan perlindungan.
Remaja itu dilihat bergelut kesakitan sekurang-kurangnya setengah minit.
Pegawai Bulan Sabit Palestin memberitahu AFP, mangsa berada di tepi jalan utama di Jenin yang secara teori tidak boleh diakses tentera Israel kerana berada dalam kawalan penuh Pihak Berkuasa Palestin.
Tentera Israel memaklumkan AFP ia sedang mengesahkan maklumat berkenaan, dan mendakwa melaksanakan serbuan di kem pelarian di Jenin serta membunuh “dua penentang berpangkat tinggi” termasuk seorang yang dikaitkan dengan serangan terhadap orang Israel.