
Menteri Pengangkutan Jalan dan Lebuhraya, Nitin Gadkari berkata, operasi menyelamat melibatkan pelbagai agensi diselaras dengan baik, menjadikannya antara operasi menyelamat terpenting sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“Pelbagai jabatan dan agensi saling melengkapi satu sama lain, walaupun berdepan pelbagai cabaran,” katanya.
Pekerja itu terperangkap lebih 200m dari pintu masuk terowong, selepas sebahagian terowong Silkyara sepanjang 4.5km di daerah Uttarkashi, Uttarakhand runtuh pada 12 Nov lalu.
Penyelamat menghadapi banyak kesukaran, termasuk kerosakan peralatan semasa menggerudi untuk mencapai kedudukan mangsa.
Sepanjang tempoh itu, semua pekerja menerima makanan, air, oksigen dan ubat-ubatan melalui paip.
Mereka akhirnya muncul seorang demi seorang di atas pengusung beroda melalui paip pemindahan berukuran 90cm yang dibina melalui runtuhan terowong.
Beberapa meter terakhir penggerudian itu dilakukan secara manual oleh pelombong dikenali sebagai “pelombong tikus”.
Ahli keluarga pekerja, penduduk tempatan, penyelamat dan pegawai kerajaan yang hadir di lokasi kejadian bersorak meraikan kejayaan mengeluarkan semua mangsa.
“Ini hari besar bagi kami. Semua pekerja akhirnya diselamatkan,” kata seorang penyelamat.
Semua pekerja yang kelihatan sihat tetap dibawa ke hospital untuk pemeriksaan kesihatan.
“Saya mengucapkan tahniah kepada pasukan (penyelamat) dan semua pakar yang bertindak dengan keberanian luar biasa untuk melaksanakan antara misi menyelamat paling sukar dalam sejarah,” kata Presiden India, Droupadi Murmu.
Terowong yang terletak di kawasan Himalaya dan sensitif dari segi ekologi itu sebahagian daripada projek lebuh raya untuk mengurangkan jarak perjalanan antara tapak ziarah Hindu di Uttarakhand.
Anggaran kos keseluruhan projek Jalan Char Dham sepanjang 890km itu ialah USD1.5 bilion.
Pekerja terowong itu berasal dari pelbagai negeri, termasuk Bihar, Bengal Barat, Odisha dan Uttar Pradesh.