New Orleans akan tutup kem gelandangan terbesar

New Orleans akan tutup kem gelandangan terbesar

Selepas kem itu ditutup, mereka yang masih berada di tapak berkenaan akan disabitkan kesalahan menceroboh harta kerajaan.

New Orleans mengambil langkah menutup salah satu kem gelandangan terbesarnya minggu ini bagi mengurangkan bilangan gelandangan di bandar itu. (Gambar AP)
HOUSTON:
New Orleans akan menutup Tchoupitoulas Encampment, antara kem gelandangan terbesar di bandar itu, pada minggu ini.

Langkah terbabit diambil sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan tempatan mengurangkan bilangan gelandangan, lapor Xinhua.

Notis penutupan telah ditampal pada tiang-tiang elektrik dan di sekitar kem, manakala semua harta peribadi perlu dialihkan sebelum 7 pagi Jumaat waktu tempatan.

Selepas tempoh berkenaan, mereka yang masih berada di tapak berkenaan akan disabitkan kesalahan menceroboh harta kerajaan dan melanggar kod bandar, menurut notis itu.

Kesalahan kali pertama boleh dikenakan denda tidak lebih USD500 manakala kesalahan selanjutnya boleh dikenakan denda dan penjara, lapor saluran media tempatan WDSU.

Jabatan khidmat masyarakat telah ditugaskan di kawasan terbabit dan akan membantu menyediakan dan menyelaras perkhidmatan untuk mana-mana individu yang memerlukan tempat tinggal, perlindungan atau perkhidmatan lain, menurut pegawai tempatan.

Selepas proses pembersihan, pagar akan dipasang di tapak terbabit dan rondaan secara berkala akan dilakukan bagi menghalang sebarang penempatan semula.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.