
El Ghazi, 28, pernah digantung dan diberi amaran oleh kelab Bundesliga itu mengenai frasa “From the river to the sea” bermaksud “dari sungai ke laut” di akaun Instagramnya.
“From the river to the sea, Palestine will be free” (Dari sungai ke laut, Palestin akan bebas) merupakan slogan Palestin merujuk kawasan antara Sungai Jordan dan Laut Mediterranean.
Beliau dalam respons terhadap penamatan kontraknya pada 3 Nov lalu di platform X berkata: “Saya berdiri demi kebenaran, meskipun ia bermakna saya terpaksa mengharunginya bersendirian.”
“Kehilangan mata pencarian saya tidak bermakna apa-apa, jika dibandingkan kesengsaraan dan penderitaan dialami mereka yang tidak bersalah di Gaza.”
El Ghazi pernah beraksi dengan kelab Belanda Ajax dan PSV Eindhoven, Aston Villa dan Everton di England serta Lille di Perancis.