Israel serbu hospital, cetus kemarahan dunia

Israel serbu hospital, cetus kemarahan dunia

PBB menganggarkan sekurang-kurangnya 2,300 pesakit, kakitangan dan orang yang kehilangan tempat tinggal berlindung di Hospital Al-Shifa.

Rakyat Palestin melihat kemusnahan akibat serangan Israel di Semenanjung Gaza semalam. (Gambar AP)
PARIS:
Operasi tentera Israel di Hospital Al-Shifa kononnya menyasarkan pusat kawalan Hamas yang terletak di bawah kemudahan perubatan terbesar Gaza itu mencetuskan kritikan masyarakat antarabangsa.

Tentera mengumumkan operasi terhadap Hamas di kawasan khusus hospital itu, di mana PBB menganggarkan sekurang-kurangnya 2,300 pesakit, kakitangan dan individu yang kehilangan tempat tinggal kini berlindung.

Pegawai kementerian kesihatan Hamas yang berada di hospital itu memberitahu AFP, beliau dapat melihat kereta kebal di dalam pekarangan premis berkenaan.

Israel menuduh Hamas menggunakan hospital di Gaza sebagai pangkalan dan kononnya menggali terowong di bawah Al-Shifa selain menggunakan pesakit sebagai “perisai”.

Hamas berkata, Presiden Amerika Syarikat Joe Biden “bertanggungjawab sepenuhnya atas serangan terhadap kompleks perubatan Al-Shifa”.

“Penerimaan Rumah Putih dan Pentagon terhadap dakwaan palsu penceroboh bahawa penentang menggunakan kompleks perubatan Al-Shifa untuk tujuan ketenteraan memberikan lampu hijau kepada pembunuhan lebih ramai orang awam.”

Pihak berkuasa Palestin menyelar serbuan itu sebagai pelanggaran undang-undang antarabangsa dan menggesa masyarakat dunia supaya melindungi pesakit dan orang awam di situ.

Ketua kemanusiaan PBB mendesak tindakan segera diambil untuk menghentikan kekejaman.

“Kekejaman di Gaza mencapai tahap mengerikan lebih teruk saban hari, dunia terus dikejutkan dengan hospital yang dibedil, bayi pramatang mati…”

“Keseluruhan populasi ini dinafikan hak untuk hidup. Ini tidak boleh dibiarkan berterusan,” kata Martin Griffiths.

Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, agensi itu sekali lagi tidak dapat berhubung dengan kakitangannya di hospital berkenaan.

“Kami amat risaukan keselamatan mereka dan pesakit mereka.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.