Mayat makin mereput di Hospital Al-Shifa

Mayat makin mereput di Hospital Al-Shifa

Orang ramai yang terperangkap di premis itu mula mengebumikan mayat bagi mengelak krisis sanitasi.

Hospital Al-Shifa tidak lagi berfungsi secara normal akibat ketiadaan bekalan elektrik, air dan keperluan asas lain. (Gambar AP)
GAZA:
Orang ramai yang terperangkap dalam Hospital Al-Shifa di Gaza merancang untuk mula mengebumikan mayat di dalam pekarangan itu tanpa kelulusan Israel memandangkan keadaan sudah semakin meruncing.

Pakar bedah, Dr Ahmed Al Mokhallalati, dan jurucakap Kementerian Kesihatan Gaza Ashraf al-Qidra berkata, lebih 100 mayat terhimpun di lokasi itu seterusnya menimbulkan krisis sanitasi teruk.

“Kami merancang mengebumikan mereka hari ini dalam satu liang lahad di dalam kompleks perubatan Al-Shifa. Keadaannya berbahaya kerana kami tiada perlindungan pihak ICRC (Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah), tetapi tiada pilihan, jenazah syuhada ini semakin mereput,” kata Ashraf.

“Kaum lelaki sedang menggali kubur pada saat ini.”

Ashraf menganggarkan kira-kira 100 mayat terhimpun sehingga kini di Al-Shifa, manakala anggaran Mokhallalati pula adalah 120.

Hospital itu tidak lagi beroperasi secara biasa akibat kekurangan bekalan elektrik, air dan keperluan asas lain.

Mokhallalati berkata mayat berkenaan mengeluarkan bau busuk dan mendedahkan risiko jangkitan.

“Hari ini kami mengalami sedikit hujan…keadaan sangat teruk, kami langsung tidak dapat membuka tingkap,” katanya.

“Malangnya tiada kelulusan daripada pihak Israel sekalipun untuk mengebumikan jenazah-jenazah ini dalam pekarangan hospital.”

Katanya, orang awam mula menggali dalam pekarangan hospital hari ini dalam usaha mengebumikan mayat berkenaan sendiri.

“Untuk mengebumikan 120 mayat memerlukan banyak peralatan, ia tidak boleh dilakukan secara manual atau oleh orang semata-mata.

“Proses mengebumikan semua mayat ini pasti akan mengambil masa berjam-jam,” katanya.

Israel mendakwa hospital itu didirikan atas terowong yang menjadi ibu pejabat pejuang Hamas, yang kononnya menggunakan pesakit sebagai perisai hidup. Perkara itu dinafikan sekeras-kerasnya oleh Hamas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.