11 penyokong bola sepak Jerman ditahan di Itali

11 penyokong bola sepak Jerman ditahan di Itali

Ia selepas kira-kira 300 peminat Union Berlin merosakkan kereta dan kedai di sekitar Piazza Dante Naples.

Sepuluh penyokong Jerman ditahan kerana merosakkan harta benda, manakala seorang lagi kerana menyerang anggota polis dan enggan memberi kerjasama ketika pemeriksaan.
ROM:
Keganasan meletus dalam kalangan penyokong bola sepak sebelum perlawanan Liga Juara-juara UEFA antara SSC Napoli dan FC Union Berlin pada Rabu malam menyebabkan 11 penyokong Berlin ditahan.

Ketua Polis Naples, Maurizio Agricola, pada Rabu berkata kira-kira 300 peminat Union Berlin merosakkan kereta dan kedai di sekitar Piazza Dante Naples, membawa kepada penahanan 10 daripada 11 penyokong pasukan dari Jerman itu kerana merosakkan harta benda.

Dalam kejadian berasingan, seorang lagi penyokong Union Berlin ditahan kerana menyerang anggota polis dan enggan memberi kerjasama ketika pemeriksaan.

“Matlamat peminat Jerman adalah cuba bertempur dengan penyokong Napoli. Bagaimanapun, polis berjaya menghalang kedua-dua pihak daripada bertembung,” kata Agricola dalam sidang media menurut Xinhua.

Polis turut meningkatkan kawalan keselamatan di sekitar dan dalam Stadium Diego Armando Maradona di Naples menjelang perlawanan itu.

Polis berkata, tiada tangkapan terhadap penyokong Napoli kerana kebanyakan tindakan agresif datang daripada penyokong pasukan pelawat.

Kedua-dua liga bola sepak Itali dan Jerman mempunyai sejarah pertembungan ganas membabitkan penyokong.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.