
El Nino adalah pola iklim semulajadi yang lazimnya dikaitkan dengan peningkatan suhu global, mengakibatkan kemarau di sesetengah tempat dan hujan lebat di tempat lain.
Pertubuhan Meteorologi Dunia PBB (WMO) berkata, El Nino kini dihadapi dunia, yang berlaku dengan pantas antara Julai-Ogos tahun ini, berkemungkinan mencapai kemuncak antara sekarang hingga Januari.
“Ada kemungkinan 90% ini akan berterusan sepanjang musim sejuk hemisfera utara/musim panas hemisfera selatan,” menurutnya dengan menambah fenomena ini dijangka berterusan sehingga sekurang-kurangnya April.
Fenomena cuaca ini lazimnya berlaku setiap dua hingga tujuh tahun, dan selalunya meningkatkan suhu global setahun selepas bermula.
Walaupun kesan El Nino dijangka hanya dirasai selepas 2024, WMO menegaskan fenomena itu berlaku dalam konteks perubahan iklim yang pantas.
Buat masa ini, 2016 adalah tahun paling panas, iaitu setahun selepas El Nino bermula ketika itu – tetapi tanda-tanda menunjukkan rekod itu bakal diatasi.
“Akibat suhu darat dan permukaan laut melampau yang tinggi sejak Jun, 2023 kini nampaknya bakal menjadi tahun paling panas direkodkan,” kata ketua WMO Petteri Taalas dalam kenyataan.
Beliau memberi amaran tahun depan mungkin lebih panas lagi.
Kali terakhir El Nino berlaku pada 2018-2019, disusuli fenomena La Nina berpanjangan yang berakhir awal tahun ini.