PBB beri amaran bantuan kemanusiaan ke Gaza bakal ‘lumpuh’

PBB beri amaran bantuan kemanusiaan ke Gaza bakal ‘lumpuh’

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres berkata, badan dunia itu tidak akan dapat meneruskan penghantaran bantuan di Gaza tanpa perubahan terhadap kaedah bantuan yang disalurkan.

PBB berkata, sebelum konflik terbaharu berlaku, kira-kira 500 trak membawa bantuan kemanusiaan memasuki Gaza setiap hari, tetapi kini hanya purata 12 trak. (Gambar AP)
WASHINGTON:
Rangkaian bantuan kemanusiaan yang menyediakan perkhidmatan kritikal kepada lebih dua juta penduduk di Gaza berisiko “lumpuh”, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres beri amaran pada Jumaat.

“Apabila insiden pengeboman semakin kerap, keperluan menjadi semakin kritikal.

“Memandangkan situasi semakin terdesak, PBB tidak akan dapat meneruskan penghantaran bantuan di Gaza tanpa perubahan terhadap kaedah bantuan yang disalurkan,” katanya dalam kenyataan dipetik Agensi Anadolu.

Sebelum konflik terbaharu itu, kira-kira 500 trak membawa bantuan kemanusiaan memasuki Gaza setiap hari, tetapi kini hanya purata 12 trak, menurut PBB.

“Penduduk Gaza semakin derita…tanpa perubahan dasar, penduduk akan menghadapi gelombang penderitaan kemanusiaan yang belum pernah terjadi sebelum ini. Setiap daripada kita mesti memikul tanggungjawab masing-masing,” kata Guterres.

Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) mengesahkan 53 anggotanya terbunuh di Gaza sejak 7 Okt lalu.

UNRWA juga memberi amaran mungkin tidak dapat meneruskan bantuan kemanusiaan, melainkan penghantaran bahan api dibenarkan memasuki Gaza, memandangkan bekalan sedia ada hampir kehabisan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.