Bawa senjata api, senator AS ditahan di Hong Kong

Bawa senjata api, senator AS ditahan di Hong Kong

Jurucakap pemimpin itu berkata Senator Jeff Wilson secara tidak sengaja memasukkan sepucuk revolver ke dalam beg bimbitnya.

Senator dari Washington, Amerika Syarikat ditahan di Hong Kong kerana memiliki senjata api yang tidak dilesenkan. (Gambar JeffWilson.com)
SEATTLE:
Senator Jeff Wilson dari Washington Amerika Syarikat (AS) ditahan di Hong Kong pada Jumaat kerana memiliki senjata api yang tidak dilesenkan, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Wilson tidak dapat dihubungi ketika diminta mengulas kes itu.

Beliau menerusi satu kenyataan berkata kejadian itu satu kesilapan yang tidak disengajakan dan akan segera diselesaikan.

Jurucakap pemimpin itu, Erik Smith berkata Wilson ketika kejadian sedang memulakan percutian selama lima minggu ke Asia Tenggara dengan menaiki penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Portland.

Smith berkata Wilson secara tidak sengaja memasukkan sepucuk revolver ke dalam beg bimbitnya.

Senjata itu tidak dikesan oleh pihak keselamatan di lapangan terbang dan Wilson hanya menyedarinya ketika sudah berada di dalam pesawat.

Sebaik mendarat di Hong Kong, Wilson memaklumkan pihak berkuasa kastam mengenai pistol itu dan beliau kemudiannya ditahan.

Senator itu dipenjarakan dan kemudian dibebaskan selepas membayar ikat jamin.

Smith berkata Wilson telah menyerahkan pasport dan senjata api itu dan perbicaraan kes itu dijadualkan pada 30 Okt.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.