
Ini kali pertama sistem mahkamah negara itu mendakwa seseorang atas tuduhan membakar kitab suci Islam.
Mahkamah daerah Linkoping di tengah Sweden mendapati lelaki berusia 27 tahun itu bersalah atas tuduhan “penghasutan terhadap kumpulan etnik”, kerana perbuatan yang “menyasarkan Muslim, dan bukannya agama Islam” yang tidak menggalakkan perbahasan objektif serta bertanggungjawab.
Pada September 2020, lelaki itu merakam klip video di luar gereja Linkoping memaparkan senaskhah al-Quran dan bakon babi dibakar atas barbeku, dengan kata-kata menghina Nabi Muhammad ditulis pada papan tanda yang diletakkan di bawahnya.
Video itu dikongsikan ke platform media Twitter, atau kini dikenali sebagai X, dan YouTube. Al-Quran dan bakon itu kemudian diletakkan di luar masjid Linkoping.
Video itu turut memaparkan lagu “Remove Kebab” yang popular dalam kalangan kumpulan berhaluan kanan ekstrem yang menggesa penghapusan orang Islam.
Mahkamah berkata, lagu itu dikaitkan dengan serangan di dua masjid di Christchurch, New Zealand yang meragut 51 nyawa pada 2019.
Lelaki itu mendakwa tindakannya adalah kritikan Islam sebagai sebuah agama, namun hujahan itu ditolak mahkamah.
“Mahkamah mendapati muzik dipilih untuk mengiringi rakaman video itu tidak boleh ditafsirkan dengan cara lain, melainkan sebagai ancaman terhadap orang Islam dan agama mereka,” menurut kenyataan mahkamah.
“Kandungan video itu dan penerbitannya jelas menunjukkan tujuan utama defendan adalah untuk menyuarakan ancaman dan kebencian.”
Sabitan itu susulan beberapa kejadian membakar al-Quran awal tahun ini yang mencetuskan kemarahan dunia, dan menjadikan Sweden “sasaran” sehingga menyebabkan agensi risikan negara itu meningkatkan tahap amaran keganasan ke peringkat tertinggi.
Kerajaan Sweden mengecam perbuatan membakar al-Quran tetapi mempertahankan hak kebebasan bersuara negara itu.