
Salima Khan yang dilahirkan pada 1931 dan berkahwin pada usia 14 tahun – dua tahun sebelum berakhirnya pemerintahan British di India – menyimpan impian untuk belajar menulis dan membaca.
Wanita dari Bulandshahr, negeri Uttar Pradesh di utara India, berkata tiada sekolah di kampungnya ketika beliau kecil.
Enam bulan lalu, beliau memulakan pembelajaran bersama murid yang lapan dekad lebih muda daripadanya dan ditemani isteri cucunya ke sekolah.
Kisahnya muncul selepas video beliau mengira dari satu hingga 100 tular di media sosial.
“Cucu pernah tipu saya untuk memberi mereka wang tambahan kerana saya tak tahu mengira,” katanya dipetik Times of India.
Banci 2011 menunjukkan kadar celik huruf di India sekitar 73%.
“Kisahnya menguatkan kepercayaan bahawa usia bukan penghalang menimba ilmu,” kata pegawai pendidikan tempatan, Lakshmi Pandey kepada AFP.
Katanya, sukarelawan daripada inisiatif pendidikan kerajaan mengenal pasti Khan sebagai pelajar berpotensi dan menggalakkannya ke sekolah.
Guru besar Pratibha Sharma berkata, guru pada mulanya “teragak-agak” mengajar Khan, tetapi ia diatasi dengan “keghairahannya” untuk belajar.
“Kami tak sampai hati menolaknya”, Sharma beritahu Times of India.
Katanya, sejak Khan ke sekolah, 25 wanita dari kampungnya turut menyertai kelas celik huruf, termasuk dua menantunya.
Rekod Dunia Guinness menyenaraikan mendiang Kimani Ng’ang’a Maruge dari Kenya sebagai individu tertua menamatkan sekolah rendah, selepas mendaftar pada 2004 ketika berusia 84 tahun.
Bekas pejuang gerila Mau Mau menentang penjajah British itu mula ke sekolah kerana mahu mengira wang dan membaca kitab Injil. Maruge kemudiannya dilantik “ketua senior”.