Indonesia mahu bekerjasama dengan China demi kestabilan

Indonesia mahu bekerjasama dengan China demi kestabilan

China antara rakan perdagangan dan pelaburan terbesar Indonesia.

Menteri Koordinator Hal Ehwal Ekonomi Airlangga Hartarto menekankan kepentingan membina hubungan kukuh dan berkekalan antara Indonesia dan China. (Gambar Facebook)
JAKARTA:
Indonesia menjangkakan kerjasamanya dengan China terus membangun dan membawa kemakmuran, kestabilan dan peluang kepada rakyat kedua-dua negara, lapor agensi berita Antara.

“Semoga perkongsian kami terus berkembang dan membawa kemakmuran, kestabilan, dan peluang kepada rakyat Indonesia dan China,” kata Menteri Koordinator Hal Ehwal Ekonomi Airlangga Hartarto pada majlis sambutan Ulang Tahun Ke-74 Penubuhan Republik Rakyat China, pada Rabu.

Hartarto menekankan kerjasama ekonomi antara Indonesia dan China adalah penting, dan kedua-duanya telah menjalin hubungan dua hala sejak sekian lama.

China adalah antara rakan perdagangan dan pelaburan terbesar Indonesia, katanya.

Pada 2022, nilai pelaburan China di Indonesia mencecah USD8.2 bilion dan merupakan yang kedua tertinggi di Indonesia.

Jumlah perdagangan antara kedua-dua negara tahun itu juga mencapai paras tertinggi sepanjang masa sebanyak USD133 bilion, peningkatan lebih 20% berbanding tahun sebelumnya.

Hartarto juga menekankan kepentingan membina hubungan yang kukuh dan berkekalan antara kedua-dua negara.

Selain itu, Perkongsian Strategik Komprehensif Indonesia-China, yang berjalan selama 10 tahun, membawa manfaat yang besar kepada kedua-dua negara.

Kerjasama dua hala antara kedua-duanya terus berkembang dalam bidang pembangunan infrastruktur, industri hijau, dan ekonomi digital.

“Sebagai bentuk komitmen kami terhadap ekonomi digital, saya dengan sukacitanya mengumumkan bahawa saya dan menteri perdagangan China baru-baru ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk kerjasama dalam bidang ekonomi digital dan e-dagang,” kata Hartarto.

MoU itu berfungsi sebagai asas kerjasama dalam mengintegrasikan teknologi kecerdasan buatan (AI), meningkatkan peredaran komersial, mengoptimumkan sistem pengangkutan, mengukuhkan kewangan digital dan memajukan perkhidmatan kesihatan digital.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.