Thaksin kemuka permohonan pengampunan diraja

Thaksin kemuka permohonan pengampunan diraja

Terdahulu, bekas PM Thailand itu dijatuhi hukuman penjara 8 tahun sekembalinya dia ke negara itu bulan lepas, setelah 15 tahun hidup dalam buangan.

Thaksin Shinawatra, 74, kembali ke Thailand pada 22 Ogos selepas 15 tahun hidup dalam buangan. (Gambar AP /Wason Wanichakorn)
BANGKOK:
Bekas perdana menteri Thailand Thaksin Shinawatra yang kini menjalani hukuman penjara lapan tahun mengemukakan permohonan pengampunan diraja, kata Menteri Kehakiman Wissanu Krea-ngam.

Bagaimanapun, beliau tidak memberikan maklumat lanjut sama ada permohonan itu ditulis oleh Thaksin atau keluarganya.

“Kami telah menerima (permintaan), selebihnya akan mengikut prosedur,” katanya dipetik oleh Bangkok Post.

Beliau berkata, tempoh proses itu bergantung kepada pertimbangan Raja.

Katanya, proses itu mungkin mengambil masa antara satu hingga dua bulan, bergantung kepada jumlah dokumen yang dikemukakan.

Proses permohonan pengampunan di Thailand bermula dengan banduan mengemukakan permohonan kepada menteri kehakiman melalui jabatan pemulihan dan menteri kemudiannya memajukan permohonan itu kepada perdana menteri.

Perdana menteri akan mengemukakan permohonan itu kepada majlis privy untuk mendapatkan cadangan dan akhirnya akan diserahkan kepada Raja Maha Vajiralongkorn.

Thaksin, 74, kembali ke Thailand pada 22 Ogos selepas 15 tahun hidup dalam buangan.

Pada hari yang sama, Mahkamah Agung menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun ke atas bekas perdana menteri itu atas tuduhan rasuah.

Pada hari pertama di wad perubatan di Penjara Reman Bangkok, beliau dimasukkan ke Police General Hospital selepas mengadu sakit dada, darah tinggi, tahap oksigen dalam darah yang rendah dan insomnia. Pegawai perubatan penjara berkata, Thaksin memerlukan pemantauan rapi.

Awal minggu ini, kumpulan anti-Thaksin membuat aduan kepada Jabatan Pemulihan yang menentang percubaan Thaksin untuk mendapatkan pengampunan diraja dengan alasan bahawa tidak sepatutnya ada pengampunan bagi kes rasuah kerana ia merosakkan tadbir urus dan reputasi negara dengan teruk.

Thaksin pulang hanya beberapa jam sebelum Srettha Thavisin daripada Parti Pheu Thai memenangi undi di Parlimen untuk menjadi perdana menteri Thailand.

Parti Pheu Thai yang disokong Thaksin membentuk kerajaan campuran dengan 11 parti lain, termasuk dua pesaing, Palang Pracharath Party (PPRP) dan United Thai Nation (UTN) yang mempunyai hubungan dengan tentera.

Ini mencetuskan spekulasi bahawa perjanjian telah dibuat untuk mengurangkan hukuman penjara ke atas Thaksin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.