India ‘alih pandangan’ ke matahari pula

India ‘alih pandangan’ ke matahari pula

Agensi angkasa negara itu merancang melancarkan satelit bagi meninjau aktiviti solar.

Agensi angkasa India akan melancarkan Aditya-L1 pada 2 September. (Gambar AFP)
NEW DELHI:
Beberapa hari selepas menjadi negara pertama mendaratkan kapal angkasa berhampiran kutub selatan bulan, agensi angkasa India hari ini mengumumkan akan melancarkan satelit bagi meninjau matahari pula.

“Pelancaran Aditya-L1, alat cerap berpangkalan di India pertama bagi mengkaji matahari, dijadualkan pada 2 September,” kata Organisasi Penyelidikan Angkasa India (Isro) di X.

Aditya yang bererti “matahari” dalam bahasa Hindi, akan dilepaskan ke orbit halo di kawasan angkasa kira-kira 1.5 juta km dari Bumi, seterusnya memberikan kapal angkasa itu pemandangan jelas terhadap matahari.

“Ini akan memberi kelebihan dalam memerhatikan aktiviti solar dan kesannya terhadap cuaca angkasa dalam masa nyata,” kata Isro.

Kapal angkasa itu membawa tujuh beban bayar bagi memerhati lapisan paling luar matahari yang dikenali sebagai fotosfera dan kromosfera.

Antara objektifnya adalah mengkaji cuaca angkasa termasuk bagi lebih memahami dinamik angin suria.

Nasa dan Agensi Angkasa Eropah (ESA) pernah menghantar “orbiter” bagi memerhati matahari, misi ini adalah yang pertama seumpamanya untuk India.

Misi ke bulan Chandrayaan-3 telah dilancarkan pada 14 Julai lalu dan mendarat di permukaan bumi minggu lalu.

Ini menjadikan India negara keempat selepas AS, Rusia, dan China yang berjaya mendarat di bulan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.