Pelepasan air dari loji nuklear Jepun berjalan stabil

Pelepasan air dari loji nuklear Jepun berjalan stabil

Proses pelepasan air tercemar itu dijangka berlarutan lebih tiga dekad.

Tokyo memulakan pelepasan air tercemar dari loji nuklear Fukushima ke Lautan Pasifik sehari lebih awal. (Gambar AP)
SEOUL:
Pelepasan air tercemar dari loji nuklear Fukushima di Jepun dijalankan secara stabil dan seperti dirancang, tanpa sebarang kelainan dikesan setakat ini, kata seorang pegawai Korea Selatan.

Tokyo memulakan pelepasan air tercemar sehari lebih awal, satu proses yang dijangka berlarutan lebih tiga dekad, walaupun timbul kebimbangan kesihatan dan alam sekitar dari negara jiran.

“Setakat ini, proses pelepasan berjalan dengan stabil seperti dirancang pada asalnya, dan difahamkan tiada situasi tidak normal,” agensi berita Yonhap memetik Timbalan Ketua Pertama Pejabat Penyelarasan Dasar Kerajaan, Park Ku Yeon dalam taklimat harian mengenai isu Fukushima.

Park turut menekankan Seoul sedang memantau dan menganalisis secara menyeluruh proses pelepasan air itu antara pihak berkuasa kawal selia dan diplomatik kedua-dua negara.

Kedua-dua pihak sebelum ini bersetuju segera berkongsi maklumat, jika berlaku situasi tidak normal di loji pelepasan itu.

“Kerajaan akan mengambil langkah terbaik untuk meneruskan pemantauan supaya tiada kesan terhadap keselamatan dan kesihatan rakyat,” kata Park.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.