
Kumpulan nelayan Jepun berkata, mereka bimbang pelepasan itu akan membawa kepada kerosakan reputasi.
Jepun mempertahankan pelepasan air itu selamat. Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), badan pemerhati nuklear Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, turut memberi lampu hijau bagi rancangan itu Julai lalu dengan berkata ia memenuhi piawaian antarabangsa dan kesannya terhadap manusia serta alam sekitar “boleh diabaikan.”
Jaminan itu dibantah Hong Kong dan Macau yang berkata larangan akan dikenakan ke atas makanan laut Jepun, termasuk dari Tokyo dan Fukushima mulai Khamis. China juga akan mengambil langkah perlu bagi melindungi persekitaran marin, keselamatan makanan dan kesihatan awam, kata Kementerian Luarnya semalam.
Jurucakap Kementerian Luar China, Wang Wenbin menyifatkan langkah itu “sangat mementingkan diri” dan Beijing amat bimbang dengan keputusan itu serta sudah membuat aduan rasmi.
Majoriti parti pembangkang dan kumpulan sivik di Korea Selatan memperhebatkan bantahan terhadap rancangan Jepun itu semalam. Kerajaan pimpinan Presiden Yoon Suk-yeol dikritik kerana mengatakan penilaiannya sendiri tidak menemui sebarang masalah dari aspek saintifik dan teknikal pelepasan air itu.
Ketua Eksekutif Hong Kong, John Lee menyifatkan pelepasan itu “tidak bertanggungjawab” dan ia akan mengawal import makanan laut hidup, beku, kering, garam laut dan rumpai laut.
Isnin lalu, Ketua Persekutuan Koperasi Perikanan Kebangsaan, Masanobu Sakamoto berkata, kumpulan nelayan tempatan memahami pelepasan air itu mungkin selamat dari segi saintifik, tetapi mereka masih bimbang dengan kerosakan reputasinya.
“Diberitahu sesuatu adalah selamat dari segi saintifik dan rasa terjamin adalah dua perkara berbeza…Bukti pelepasan air selamat dari segi saintifik mungkin tidak mampu menghapuskan kerosakan reputasi.”
Jepun berkata, ia akan mengasingkan kebanyakan unsur radioaktif daripada air, kecuali tritium, isotop hidrogen yang mesti dicairkan kerana sukar ditapis.
Air itu pada mulanya akan dilepaskan dalam bahagian lebih kecil dengan pemeriksaan tambahan, dengan pelepasan pertama 7,800 meter padu air kira-kira 17 hari, kata operator loji janakuasa Fukushima Tepco pada Selasa lalu.
Setiap liter air itu akan mengandungi kira-kira 190 becquerel tritium, di bawah had air minuman ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia iaitu 10,000 becquerel seliter, menurut Tepco. Becquerel ialah unit radioaktiviti.