NZ gesa pembebasan juruterbang diculik di Papua

NZ gesa pembebasan juruterbang diculik di Papua

Perdana Menteri, Chris Hipkins berkata tiada kewajaran untuk mengambil tebusan.

Juruterbang New Zealand, Phillip Mehrtens diculik pemberontak di lapangan terbang Nduga pada Februari lalu. (Gambar Tentera Pembebasan Nasional Papua Barat/AP)
WELLINGTON:
Perdana Menteri New Zealand, Chris Hipkins menggesa pembebasan seorang rakyatnya yang diculik pemisah Papua di Indonesia enam bulan lalu.

Juruterbang Phillip Mehrtens berkhidmat untuk syarikat penerbangan Indonesia, Susi Air ketika beliau diculik pemberontak di lapangan terbang Nduga pada Februari lalu.

“Phillip adalah bapa, suami dan abang dan anak sangat disayangi,” kata Hipkins dalam sidang media di Auckland.

“Saya sekali lagi menggesa mereka yang menahan Phillip segera melepaskannya. Tiada kewajaran sama sekali untuk mengambil tebusan.

“Semakin lama Phillip ditahan, semakin banyak risiko terhadap kesejahteraannya dan semakin sukar bagi dirinya serta keluarganya.”

Hipkins berkata, Kementerian Luar mengetuai respons New Zealand dengan bekerjasama bersama pihak berkuasa Indonesia.

Katanya, beliau sudah menghubungi keluarga Mehrtens minggu ini “bagi memberi jaminan kerajaan akan melakukan semua yang mampu untuk membawa pulang Phillip”.

“Saya akui ini masa sangat mencabar untuk mereka. Keselamatan dan kesejahteraan Philip tetap menjadi keutamaan kami.”

Pemberontak yang menculik Mehrtens ialah Tentera Pembebasan Nasional Papua Barat (TPNPB).

Sebelum ini, mereka menuntut Indonesia mengiktiraf kemerdekaan Papua sebagai balasan untuk membebaskan warga New Zealand itu.

Menurut tentera Indonesia, pemisah bersenjata menyerang hendap tentera yang mencari Mehrtens April lalu menyebabkan sekurang-kurangnya seorang terbunuh.

Papua ialah bekas tanah jajahan Belanda yang mengisytiharkan dirinya merdeka pada 1961. Tetapi, negara jiran Indonesia menguasainya dua tahun kemudian dan menjanjikan referendum kemerdekaan.

Undian berikutnya yang menyokong ia kekal sebahagian daripada Indonesia dianggap penipuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.