Singapura hukum gantung banduan wanita pertama dalam 20 tahun

Singapura hukum gantung banduan wanita pertama dalam 20 tahun

Hukuman mati itu diteruskan walaupun terdapat bantuan dan rayuan daripada kumpulan hak asasi manusia.

Saridewi Djamani merupakan banduan ke-15 dihantar ke tali gantung sejak republik itu menyambung semula hukuman mati pada Mac 2022. (Gambar Pixabay)
SINGAPURA:
Singapura hari ini menghukum gantung warganegaranya, Saridewi Djamani, banduan wanita pertama dijatuhkan hukuman mati dalam tempoh hampir 20 tahun di republik itu, kata pegawai.

Hukuman mati itu diteruskan walaupun terdapat bantahan dan rayuan kumpulan hak asasi manusia yang berpendapat hukuman mati tiada kesan pencegahan terbukti ke atas jenayah.

Djamani disabitkan bersalah mengedar “tidak kurang 30.72g” heroin, lebih dua kali ganda daripada jumlah boleh dikenakan hukuman mati di Singapura.

Biro Narkotik Pusat (CNB) dalam kenyataan berkata, Djamani sudah melalui proses sewajarnya di bawah undang-undang dan diwakili peguam bela sepanjang proses itu.

“Dia disabitkan kesalahan dan dijatuhkan hukuman mati pada 6 Julai 2018. Dia merayu terhadap sabitan serta hukumannya, dan Mahkamah Rayuan menolak rayuannya pada 6 Okt 2022.

“Petisyennya kepada presiden untuk mendapat pengampunan tidak berjaya.”

Biro itu berkata, Djamani adalah wanita pertama dihukum mati di Singapura sejak 2004, selepas warga Singapura, Yen May Woen dihukum gantung kerana mengedar dadah.

Djamani juga banduan ke-15 dihantar ke tali gantung sejak kerajaan menyambung semula hukuman mati pada Mac 2022, selepas penangguhan selama dua tahun ketika pandemik Covid-19.

Wanita berusia 45 tahun itu merupakan pesalah kedua dihukum mati minggu ini, selepas warga tempatan berusia 56 tahun, Aziz Hussain berdepan nasib sama Rabu lalu kerana mengedar kira-kira 50g heroin.

Sebuah kumpulan hak asasi manusia berkata, seorang lagi banduan dadah akan dihukum gantung pada 3 Ogos ini.

Singapura mempunyai undang-undang antidadah paling ketat di dunia – mengedar lebih 500g ganja atau lebih 15g heroin boleh dihukum mati.

Amnesty berkata, ia antara empat negara – bersama China, Iran dan Arab Saudi – disahkan menghukum mati banduan atas kesalahan berkaitan dadah tahun lalu.

Singapura bagaimanapun menegaskan hukuman mati membantu ia menjadi antara negara paling selamat di Asia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.