AS arah kakitangan kerajaan, keluarga tinggalkan Haiti

AS arah kakitangan kerajaan, keluarga tinggalkan Haiti

Jabatan Negara berkata penculikan, jenayah, pergolakan awam dan kemudahan penjagaan kesihatan lemah di Haiti.

Polis mengawal keadaan ketika operasi antigeng dilancarkan di kawasan penempatan Tabare, Port-au-Prince, Haiti. (Gambar AP)
WASHINGTON:
Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) pada Khamis mengarahkan kakitangan bukan kecemasan kerajaan dan ahli keluarga meninggalkan Haiti secepat mungkin disebabkan “penculikan, jenayah, pergolakan awam dan kemudahan kesihatan lemah”.

Katanya, warganegara AS yang tidak berkhidmat untuk kerajaan juga perlu meninggalkan Haiti secepat mungkin “melalui pengangkutan komersial atau persendirian lain yang ada”.

“Penculikan berleluasa dan mangsa biasanya termasuk warga AS. Penculik mungkin menggunakan perancangan canggih atau mengambil kesempatan daripada peluang tidak dirancang, bahkan konvoi turut diserang,” kata Jabatan Negara dalam nasihat perjalanannya.

Haiti bergelut membendung keganasan dan kekecohan disebabkan kumpulan bersenjata yang mendorong krisis kemanusiaan berlaku dan menyebabkan puluhan ribu orang hilang tempat tinggal akibat penculikan untuk wang tebusan, rogol berkumpulan, penyeksaan dan pembunuhan kerap berlaku.

Negara Caribbean itu tidak memilih pemimpin baharu sejak Presiden Jovenel Moïse dibunuh pada 7 Julai 2021.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.