
Menurutnya, Oleksandr Ponomaryov, Ahli Parlimen dipilih atas tiket sebuah parti yang kini diharamkan, direman tanpa jaminan oleh mahkamah daerah Pechersk.
Ponomaryov menafikan pernah bekerjasama dengan Rusia.
Peguam mewakili Ponomaryov tidak dapat dihubungi untuk mengulas semalam.
Perkhidmatan Keselamatan Ukraine dalam kenyataan berkata, Ponomaryov “bekerjasama secara sukarela” dengan Rusia, ketika beliau berada di Zaporizhzhia, kawasan diduduki Rusia.
Agensi risikan itu mendakwa Ponomaryov mendaftar semula perniagaannya di kawasan itu di bawah undang-undang Rusia, memindahkan wang ke cawangan tempatan bank Rusia, membekalkan “bahan api” bagi kenderaan mereka dan menyediakan peralatan membuat kubu pertahanan.
Schemes, saluran media siasatan Ukraine yang bergabung dengan RFE/RL, dalam artikel pada Isnin mendakwa Ponomaryov menghabiskan enam bulan di Berdyansk, bandar pelabuhan di Zaporizhzhia yang dirampas tentera Rusia pada awal pencerobohan Februari 2022.
Ponomaryov dalam temu bual yang diterbitkan sebagai sebahagian artikel itu berkata, beliau ditahan tentera Rusia pada 20 Mac 2022, dipenjarakan dan diseksa.
Katanya, beliau menolak tawaran bekerjasama dengan Rusia, bagi perniagaannya dan dirinya, di mana semua perniagaannya kemudian dirampas dan kini dikawal Rusia.