15 tahun dalam buangan, Thaksin rancang pulang ke Thailand bulan depan

15 tahun dalam buangan, Thaksin rancang pulang ke Thailand bulan depan

Bekas perdana menteri dari 2001 hingga 2006 itu dijangka pulang ke tanah airnya pada 10 Ogos.

Bekas perdana menteri Thailand Thaksin Shinawatra meninggalkan negara itu pada Ogos 2008 untuk mengelak berdepan hukuman penjara atas kesalahan salah guna kuasa. (Gambar Reuters)
BANGKOK:
Bekas perdana menteri Thailand Thaksin Shinawatra yang hidup dalam buangan merancang untuk kembali ke Thailand pada 10 Ogos.

Perakara itu diumumkan anak perempuannya Paetongtarn Shinawatra dalam hantaran di media sosial.

Paetongtarn merupakan seorang daripada tiga calon perdana menteri dari Pheu Thai yang kini mengetuai gabungan lapan parti dalam usaha membentuk kerajaan selepas pilihan raya umum 14 Mei.

“Ayah akan kembali pada 10 Ogos di Lapangan Terbang Don Muang,” tulisnya sempena ulang tahun ke-74 bapanya pada Rabu.

Thaksin sudah berhasrat untuk pulang ke tanah air sejak awal tahun 2022.

“Kami berdua gembira dan bimbang, tetapi kami sentiasa menghormati keputusan ayah,” tulisnya.

Sementara itu, timbalan ketua polis negara Jen Surachate Hakparn berkata Thaksin akan tertakluk kepada proses kehakiman selepas beliau kembali.

“Polis akan menjalankan tugas mereka seperti biasa apabila pesawat mendarat. Beliau perlu pergi ke mahkamah dan mendengar keputusan penghakiman,” katanya.

Pada Mei tahun ini, Thaksin menyatakan beliau akan kembali ke Thailand pada Julai sebelum hari lahirnya tetapi ditangguhkan.

Thaksin, yang berkhidmat sebagai perdana menteri dari 2001 hingga 2006 telah hidup dalam buangan sejak 2008 dan menghabiskan sebahagian besar masanya di Dubai selepas kerajaannya digulingkan oleh rampasan kuasa tentera yang diketuai oleh Jeneral Sonthi Boonyaratglin.

Beliau meninggalkan Thailand pada Ogos 2008 untuk mengelak berdepan hukuman penjara. Mahkamah Agung menjatuhkan hukuman penjara dua tahun tanpa kehadirannya kerana menyalahgunakan kuasa.

Thaksin baru-baru ini berkata beliau berhasrat untuk kembali ke Thailand walaupun perlu menjalani hukuman penjara dan tidak mahu kerajaan mendesak diberikan pengampunan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.