
Ini kematian pertama menjelang pilihan raya yang dijangka diadakan Januari depan.
Parti pemerintah, Liga Awami mentadbir negara kelapan paling ramai penduduk di dunia itu sejak 2009 dan didakwa melakukan pelanggaran hak asasi manusia serta rasuah.
Parti pembangkang, Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) dan berpuluh-puluh sekutunya lebih kecil mengadakan protes di seluruh negara untuk menuntut Hasina berundur dan pilihan raya diadakan di bawah kerajaan sementara berkecuali.
BNP berkata, himpunannya di ibu negara Dhaka dan sekurang-kurangnya 16 tempat lain diserang semalam.
Jurucakap BNP, Zahir Uddin Swapan memberitahu AFP, aktivis mereka bernama Sajib Hossain ditetak dan ditembak mati anggota sayap pelajar parti pemerintah di Laxmipur.
Beliau mendakwa polis melepaskan tembakan dengan senapang patah ke arah ratusan penyokong BNP di daerah pantai selatan yang menyebabkan sekurang-kurangnya 200 orang cedera.
Joynal Abedin, doktor di Hospital Laxmipur Sadar dikendalikan kerajaan, mengesahkan seorang maut dan sekurang-kurangnya 50 lagi cedera.
“Kami perlu melakukan bedah siasat untuk mengetahui punca kematian,” katanya.
Seorang inspektor polis berkata, mereka tidak pasti kematian itu akibat pertempuran parti pemerintah dan pembangkang.
Jurucakap polis negara, Monzur Rahman enggan mengulas keganasan di seluruh negara itu.
Negara Barat bimbang dengan iklim politik di Bangladesh, di mana parti Hasina mendominasi badan perundangan.
Pasukan keselamatannya didakwa menahan puluhan ribu aktivis pembangkang, membunuh ratusan orang dan menghilangkan ratusan pemimpin serta penyokong.
Pasukan keselamatan elit, Batalion Tindakan Rapid (RAB) dan tujuh pegawai kanannya dikenakan sekatan oleh Washington pada 2021 sebagai tindak balas terhadap dakwaan pencabulan hak.
Washington menggesa pilihan raya bebas dan adil serta dua wakil kanan Jabatan Negara menemui pegawai tempatan di Dhaka minggu lalu.
Kira-kira 50,000 orang menyertai himpunan di Dhaka minggu lalu, yang bersurai tanpa sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
Penggal Parlimen semasa akan tamat pada akhir Januari depan.