4 maut dalam tembakan di AS

4 maut dalam tembakan di AS

Polis menahan seorang suspek lelaki yang memakai jaket balistik.

Beberapa kereta peronda polis berhenti di sepanjang Jalan 56. (Gambar AP)
PHILADELPHIA:
Seorang suspek ditahan selepas empat maut dan empat lagi cedera dalam tembakan di Philadelphia pada malam Isnin, kata polis dipetik media tempatan.

Jurucakap Jabatan Polis Philadelphia dalam e-mel mengesahkan terdapat “beberapa mangsa tembakan”, tetapi tiada butiran lanjut buat masa ini.

Kira-kira 10 minit selepas tembakan kedengaran sekitar 8:40 malam, pegawai polis melaporkan mereka menahan seorang suspek lelaki memakai jaket balistik dan menemui sepucuk senapang serta pistol di lorong berdekatan, lapor The Philadelphia Inquirer.

Inquirer dan televisyen Philadelphia, WPVI melaporkan dua mangsa ditembak adalah juvana, tetapi tidak jelas sama ada mereka terbunuh.

Butiran kejadian menjelang Hari Kemerdekaan Amerika Syarikat itu samar-samar, tetapi ia dilaporkan berlaku di Kingsessing, barat daya Philadelphia, kurang 1.5km dari Sungai Schuykill.

Rakaman video WPVI dari lokasi tembakan menunjukkan beberapa kereta peronda polis berhenti berdekatan satu persimpangan, dengan sebahagian jalan ditutup.

Tembakan itu menyusul sehari selepas dua maut dan 28 lagi cedera, kira-kira separuh daripada mereka ialah kanak-kanak, dalam tembakan di sebuah parti di Baltimore, Maryland. Polis giat memburu beberapa suspek dalam kejadian terbabit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.