Angka kematian serbuan Israel meningkat 8 orang

Angka kematian serbuan Israel meningkat 8 orang

Operasi itu didakwa sebagai satu ‘usaha antikeganasan meluas’.

Konflik Israel-Palestin semakin mengganas sejak awal tahun lalu. (Gambar AP)
JENIN:
Israel hari ini memulakan serbuan ketenteraan besar-besaran digelar “usaha antikeganasan meluas” termasuk serangan dron dan kerahan ratusan askar di utara Tebing Barat, yang membunuh lapan orang Palestin.

Operasi besar di bawah pentadbiran kerajaan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu itu melihat penggunaan jentolak, kenderaan perisai dan pesawat udara tanpa pemandu.

Wartawan AFP di Jenin berkata tentera dilihat dalam kem dan sekitar bandar itu. Menurutnya, berlaku tembak-menembak, letupan, dan orang Palestin membaling batu ke arah tentera Israel.

Israel telah meningkatkan operasi di utara Tebing Barat iaitu lokasi Jenin dan kem pelarian yang turut menjadi kubu kuat kumpulan bersenjata Palestin.

Kementerian Kesihatan Palestin berkata, lapan orang maut dalam operasi hari ini manakala 50 lain cedera termasuk 10 mengalami kecederaan serius.

“Serangan bom dilakukan dari udara selain serangan darat,” kata Mahmoud al-Saadi, pengarah Bulan Sabit Merah Palestin di Jenin.

“Beberapa rumah dan lokasi turut dibom… asap dilihat di mana-mana.”

Tentera Israel berkata pasukan mereka menyerang “pusat operasi bersama” kumpulan pejuang tempatan Briged Jenin.

Menurut kenyataan tentera, seorang askar cedera ringan akibat serpihan bom tentera Israel.

Konflik Israel-Palestin semakin mengganas sejak awal tahun lalu. Pentadbiran terbaru Netanyahu sejak Disember melibatkan gabungan antara parti Likud dan sekutu berhaluan kanan melampau serta ultra-Ortodoks Yahudi, turut termasuk penjajah Tebing Barat antaranya Menteri Keselamatan Dalam Negeri Itamar Ben-Gvir.

Sejak awal tahun ini, sekurang-kurangnya 185 orang Palestin, 25 rakyat Israel, serta masing-masing seorang warga Ukraine dan Itali maut, menurut kiraan AFP berdasarkan data sumber rasmi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.