
Media kerajaan memetik kenyataan Biro Peraturan Pasaran daerah Xiushan di bandar Chongqing sebagai berkata, kepala seekor tikus ditemui dalam bekal makan tengah hari di kafeteria hospital perubatan tradisional Cina daerah itu.
Menurut China Daily, sebuah video yang dimuat naik dalam talian menunjukkan kepala tikus dalam hidangan istimewa tempatan moyuya, atau itik direbus konjac.
Hospital itu dipetik media tempatan berkata, katering kafeterianya disumberluarkan kepada pembekal pihak ketiga melalui bidaan kerajaan dan ia tidak pernah menghadapi isu itu.
Seorang pegawai hospital enggan dinamakan meminta Reuters merujuk “laporan rasmi” tanpa mengulas lanjut.
Ini kali kedua kepala tikus dijumpai dalam makanan bulan ini, selepas seorang pelajar di Kolej Politeknik Industri Jiangxi di Nanchang memuat naik video “satu objek bergigi, mata dan hidung” dalam nasinya di kafeteria kolej pada 1 Jun lalu, lapor South China Morning Post.
Pegawai kolej itu tidak dapat dihubungi untuk mengulas.
Dua insiden itu mencetuskan kebimbangan warganet terhadap keselamatan makanan di negara itu.
“Mulai sekarang, kafeteria perlu memasang pasang kamera dan video pengawasan di dewan makan, kata seorang pengguna laman media sosial Weibo.
Pada 2022, Pentadbiran Peraturan Pasaran China berkata, sebanyak 518,600 kes pelanggaran keselamatan makanan disiasat dan ditangani di seluruh negara.
Walaupun keselamatan makanan di China bertambah baik beberapa tahun ini, pemeriksaan oleh pengawal selia pasaran produk tahun lalu menjumpai masalah lebih biasa dalam produk pertanian dan industri katering, lapor media kerajaan.