
Langkah itu diambil ketika kadar kesuburan di Korea Selatan, dengan purata bilangan anak dilahirkan sepanjang hayat seorang wanita mencecah rekod terendah, 0.78 pada 2022, jauh lebih rendah berbanding tahap penggantian 2.1 yang akan mengekalkan populasi Korea Selatan stabil pada 51 juta.
Jawatankuasa Presiden mengenai Masyarakat Menua dan Dasar Penduduk, menyatakan negara itu berada pada tahap memasuki masyarakat “super-tua” pada 2025, dengan warga emas berumur 65 tahun ke atas mencecah 20% daripada jumlah penduduk.
Pasukan baharu itu akan diketuai bersama kementerian kewangan dan kesihatan.
Pasukan itu akan menyemak dan mempromosi dasar yang bukan sahaja menangani kadar kelahiran rendah dan cabaran yang timbul disebabkan masyarakat yang semakin tua, bahkan dapat mengurus perubahan dalam struktur populasi secara berkesan.
“Kami merancang untuk menganalisis secara menyeluruh dan menangani kesan sosioekonomi dan risiko perubahan struktur penduduk,” menurut Naib Menteri Kewangan I, Bang Ki Sun.
Beliau berkata, kerajaan akan mengumumkan butiran dasar sedang dirancang itu dalam masa terdekat..
Menurut data terkini kerajaan, hanya 21,138 bayi dilahirkan pada bulan Mac tahun ini, turun 8.1% daripada tahun sebelumnya yang merupakan jumlah terendah bagi Mac sejak agensi statistik mula mengumpul data bulanan pada 1981.
Bilangan bayi yang dilahirkan di Korea Selatan merosot setiap tahun selama 88 bulan berturut-turut.
Menurut data terbaharu minggu lalu, warga Korea Selatan berumur 65 tahun ke atas dijangka membentuk 46.4% daripada jumlah penduduk pada 2070.