
WorkSafe New Zealand mendakwa White Island Tours berhubung kegagalan menjalankan penilaian risiko menyeluruh dan melaksanakan kawalan untuk memastikan pengurangan risiko kecederaan serius dan kematian kepada pelancong dan pekerja.
Menurut WorkSafe, daripada 22 yang maut itu 19 orang terdiri pelanggan White Island Tours dan dua lagi merupakan petugas syarikat pelancongan berkenaan, manakala 19 lagi pelanggan dan dua pekerja mengalami kecederaan.
“Kepentingan rayuan ini tidak boleh diremehkan. Ia akan memberi kesan sepanjang hayat kepada mereka yang terselamat dan waris pelancong dan pekerja yang meninggal dunia atau cedera parah.
“Kami berharap keputusan mengenai kes White Island Tours akan memberikan sedikit jaminan kepada mangsa yang terselamat dan waris juga kepada mereka yang sepatutnya bertanggungjawab memastikan keselamatan mereka dan gagal berbuat demikian perlu dipertanggungjawabkan,” kata Ketua Eksekutif WorkSafe Phil Parkes.
Whakaari, gunung berapi paling aktif di New Zealand, terletak 48 kilometer luar pantai dari Whakatane, di pantai timur Pulau Utara New Zealand. Terdapat 47 orang bersiar-siar di pulau milik persendirian itu apabila gunung berapi itu meletus pada Disember 2019.
Seorang lelaki warga Jerman berusia 64 tahun meninggal dunia pada Julai 2020 akibat komplikasi perubatan semasa menerima rawatan manakala tiga lagi cedera.