PM Jepun dijangka bentang rancangan baharu berhubung penjagaan kanak-kanak

PM Jepun dijangka bentang rancangan baharu berhubung penjagaan kanak-kanak

Dikatakan pakej langkah-langkah baharu ini bertujuan membantu menaikkan kadar kelahiran yang semakin rendah di negara itu.

PM Jepun Fumio Kishida dijangka mengumumkan dasar perdananya berhubung penjagaan kanak-kanak di tengah-tengah spekulasi bahawa Parlimen akan dibubarkan minggu ini. (Gambar AP)
TOKYO:
Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida dijangka mendedahkan pada Selasa satu pakej langkah-langkah bertujuan membantu menaikkan kadar kelahiran yang semakin rendah, dengan meningkatkan pembayaran kepada keluarga yang mempunyai anak.

Pengumuman dasar perdananya itu akan dibuat di tengah-tengah spekulasi bahawa Kishida akan membubarkan Parlimen minggu ini dan mengadakan pilihan raya kilat.

Pakej itu, yang akan dijelaskan oleh Kishida pada sidang akhbar, mungkin membantu partinya memenangi hati rakyat dengan menjanjikan pembayaran.

Kishida berkata, beliau berharap dapat menggandakan perbelanjaan bagi penjagaan kanak-kanak, iaitu kira-kira 4.7 trilion yen (USD33.7 bilion) pada masa ini, menjelang awal 2030-an.

Bawah rancangan itu, kerajaan berkemungkinan memperuntukkan kira-kira 3.5 trilion yen setiap tahun bagi tempoh tiga tahun akan datang untuk elaun penjagaan kanak-kanak dan sokongan bagi mereka yang mengambil cuti untuk menjaga kanak-kanak.

Kerajaan juga akan menggesa syarikat membenarkan pekerja memilih gaya kerja yang lebih fleksibel seperti mengambil cuti tiga hari seminggu, menurut draf pakej itu yang diperoleh Reuters.

Penganalisis bagaimanapun ragu-ragu sama ada pakej itu akan membantu membendung kemerosotan kadar kelahiran yang kronik dan populasi Jepun yang semakin tua.

“Walaupun langkah-langkah itu boleh membantu keluarga yang mempunyai anak, masalah sebenar yang mesti ditangani adalah bagaimana untuk menyokong isi rumah berpendapatan rendah yang tidak mampu berkahwin,” kata Toru Suehiro, ahli ekonomi utama di Daiwa Securities.

Tidak dapat dipastikan bagaimana kerajaan akan membiayai langkah-langkah itu, dengan Kishida menolak peluang menaikkan cukai buat jangka pendek, mencetuskan kebimbangan tentang kemerosotan kewangan Jepun.

Kerajaan akan mencari penyelesaian untuk mendapatkan sumber pembiayaan yang stabil menjelang akhir tahun, kata pegawai.

Kadar kelahiran Jepun terus merosot walaupun kerajaan menjalankan beberapa siri inisiatif untuk menaikkannya. Tahun lepas, Jepun mencatat kadar kelahiran terendah, iaitu 1.26, berbanding 1.57 pada 1990, menurut data kerajaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.