Konflik etnik di India, lebih 50,000 hilang tempat tinggal

Konflik etnik di India, lebih 50,000 hilang tempat tinggal

Konflik tercetus akibat tidak puas hati terhadap komunti Meitei, di Manipur berhubung status 'Scheduled Tribe'.

Keganasan etnik menyebabkan lebih 50,000 ditempatkan di 349 kem sementara. (Gambar AFP)
NEW DELHI:
Lebih 50,000 orang hilang tempat tinggal berikutan pertempuran etnik baru-baru ini di Manipur, India yang bersempadan dengan Myanmar.

“Secara keseluruhannya 50,698 orang hilang tempat tinggal akibat keganasan etnik dan kini ditempatkan di 349 kem sementara,” menurut kenyataan menteri penerangan R K Ranjan.

Konflik antara etnik Meitei dan etnik lain, termasuk Naga dan Kuki, mengorbankan lebih 70 orang bulan lalu.

Ketegangan dan keganasan berterusan di rantau ini walaupun terdapat pasukan keselamatan ditempatkan di pelbagai lokasi.

Semalam, Kementerian Dalam Negeri memaklumkan “jawatankuasa keamanan” yang diketuai Gabenor Manipur Anusuiya Uikey telah dibentuk untuk memulihkan keamanan di negeri itu.

Ia turut dianggotai ketua menteri N Biren Singh, Ahli Parlimen, birokrat dan pemimpin parti politik.

Ketegangan memuncak selepas mahkamah tinggi mengarahkan kerajaan negeri untuk mempertimbangkan agar komuniti Meitei diberi status “Scheduled Tribe”, lalu ditentang hebat oleh etnik lain yang membentuk kira-kira 40% penduduk dan dikhuatiri menjejaskan hak mereka.

“Scheduled Tribe” akan memberi faedah tambahan kepada Meitei untuk mendapat pekerjaan dalam sektor kerajaan, pendidikan, dan pemilikan tanah hutan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.