Boeing kesan kecacatan baharu pada pesawat 787 Dreamliner

Boeing kesan kecacatan baharu pada pesawat 787 Dreamliner

Syarikat AS itu berkata, pihaknya sedang memeriksa keadaan tidak mematuhi piawaian berkaitan dengan pemasangan pada penstabil mendatar pada model pesawat itu dalam inventorinya.

Disebabkan oleh pelbagai kecacatan pengeluaran, Boeing tidak membenarkan pesawat model Dreamliner dihantar kepada pelanggan antara Mei 2021 hingga Ogos 2022. (Gambar Reuters)
NEW YORK:
Pembuat pesawat Amerika Syarikat (AS) Boeing pada Rabu mengenal pasti kecacatan baharu pada pesawat jet 787 Dreamliner keluarannya, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Boeing sedang menyiasat beberapa pesawat yang masih belum diserahkan kepada pelanggan dan mungkin memerlukan baik pulih sebelum penghantaran, menurut syarikat itu.

“Kami sedang memeriksa pesawat 787 dalam inventori kami untuk keadaan tidak mematuhi piawaian berkaitan dengan pemasangan pada penstabil mendatar. Pesawat yang didapati bermasalah akan diperbaiki semula sebelum dijual dan penghantaran.

“Masalah itu bukan isu keselamatan segera bagi penerbangan dan pesawat dalam perkhidmatan boleh terus beroperasi, dan isu berkenaan berkemungkinan tidak akan mengubah sasaran penghantarannya untuk tahun itu,” menurut Boeing dalamkenyataan.

Pada masa sama, saham Boeing jatuh sebanyak 2%.

Dreamliner, antara model pesawat Boeing yang paling penting, berulang kali menimbulkan masalah sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Disebabkan oleh pelbagai kecacatan pengeluaran, pesawat itu tidak dibenarkan dihantar kepada pelanggan antara Mei 2021 hingga Ogos 2022.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.