Bandar Norway tawar pengangkutan awam percuma, atasi kesesakan trafik

Bandar Norway tawar pengangkutan awam percuma, atasi kesesakan trafik

Penduduk bandar Stavanger akan dapat menggunakan perkhidmatan bas, bot dan kereta api secara percuma selama setahun, kata datuk bandar.

Bandar Stavanger di Norway memperuntukkan 200 juta Kroner untuk menyediakan pengangkutan awam percuma buat penduduknya selama setahun. (Gambar Facebook)
OSLO:
Bandar Stavanger di Norway bersedia menawarkan pengangkutan awam percuma kepada penduduknya selama setahun bermula Julai.

Datuk Bandar Kari Nessa Nordtun berkata, Stavanger memperuntukkan 200 juta Kroner Norway (USD18.4 juta) untuk projek itu.

Orang ramai akan dapat menggunakan perkhidmatan bas, bot dan kereta api di bandar ini secara percuma selama setahun, katanya pada Isnin, lapor Xinhua.

Inisiatif berkenaan bertujuan menangani peningkatan penggunaan kenderaan persendirian dan mempromosikan penggunaan pengangkutan awam di bandar keempat terbesar di Norway itu.

“Dengan mengurangkan pergantungan kepada kereta, bandar ini menyasarkan untuk mengurangkan kesan karbon dan kesesakan pada waktu puncak sekali gus dapat memberi manfaat kepada alam sekitar dan pemandu,” katanya.

Oleh itu, kerajaan tempatan menetapkan sasaran untuk memastikan sekurang-kurangnya 70% perjalanan penumpang dilakukan dengan berjalan kaki, berbasikal atau menaiki pengangkutan awam.

Penyediaan pengangkutan awam secara percuma akan membantu memastikan matlamat itu tercapai.

Belanjawan dan butiran teknikal untuk inisiatif itu dijangka diluluskan pada mesyuarat majlis perbandaran pada 19 Jun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.