Bias terhadap wanita, Goldman Sachs diarah bayar USD215 juta

Bias terhadap wanita, Goldman Sachs diarah bayar USD215 juta

Tuduhan terhadapnya termasuk 75 kes salah laku di tempat kerja.

Penyelesaian itu meliputi kira-kira 2,800 kakitangan wanita yang bekerja sejak awal 2000-an.
NEW YORK:
Goldman Sachs akan membayar USD215 juta untuk menyelesaikan saman yang berpanjangan terhadap bank pelaburan itu, bagi tuduhan bias terhadap wanita dan gangguan seksual difailkan kakitangan termasuk bekas pekerja.

Tuduhan dalam saman itu turut termasuk 75 kes salah laku di tempat kerja seperti menyentuh, membuat komen tidak wajar, dan meminta hubungan seks, selain diskriminasi gaji atau menafikan kenaikan pangkat kepada kakitangan wanita atas alasan jantina mereka.

Penyelesaian itu meliputi kira-kira 2,800 wanita yang bertugas di bahagian perbankan, pengurusan dan sekuriti dari awal 2000-an hingga Mac lalu, menurut kenyataan bersama dikeluarkan pihak bank dan peguam plaintif, semalam.

“Sebagai salah seorang plaintif asal, saya bangga kerana menyokong kes ini tanpa ragu-ragu selama hampir 13 tahun, dan percaya penyelesaian ini akan membantu wanita terlibat,” kata plaintif Shanna Orlich dalam kenyataan itu.

Saman “class action” difailkan pada 2010 dijadualkan bermula pada 5 Jun di New York.

“Selepas proses litigas lebih sedekad, kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikan perkara ini,” kata Jacqueline Arthur, ketua global pengurusan sumber manusia syarikat itu.

Sebagai sebahagian daripada penyelesaian berkenaan, pakar bebas akan menganalisis penilaian prestasi dan ekuiti gaji di Goldman Sachs selama tiga tahun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.