
Menurut WMO, selepas tiga tahun corak cuaca La Nina di Lautan Pasifik, yang lazimnya menurunkan suhu global, wujud kebarangkalian 60% ini akan beralih kepada El Nino pada Mei hingga Julai tahun ini.
Kebarangkalian itu akan meningkat 70% hingga 80% antara Julai hingga September, kata WMO.
Bercakap kepada pemberita di Geneva, Wilfran Moufouma Okia, ketua bahagian perkhidmatan ramalan iklim serantau WMO berkata tiada anggaran mengenai sejauh mana suhu akan meningkat akibat El Nino. WMO juga tidak dapat menjangka kekuatan atau tempoh El Nino.
Tahun 2016 direkodkan sebagai yang paling panas dalam sejarah setakat ini, yang turut melihat El Nino berlaku. Bagaimanapun, perubahan iklim turut mengakibatkan suhu panas ekstrem sejak beberapa tahun lalu walaupun fenomena itu tidak berlaku.