Wanita Thai ditahan, dipercayai racun sekurang-kurangnya 12 mangsa

Wanita Thai ditahan, dipercayai racun sekurang-kurangnya 12 mangsa

Wanita berusia 36 tahun yang sedang hamil 4 bulan itu dipercayai meracuni mangsa menggunakan sianida.

Suspek berusia 36 tahun yang dikenali sebagai Sararat Rangsiwuthaporn ditahan di Bangkok, Thailand, pada Selasa berikutan siasatan mengenai kematian seorang wanita baru-baru ini. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Polis di Thailand menahan seorang wanita yang disyaki secara terancang membunuh sekurang-kurangnya 12 orang menggunakan racun sianida.

Wanita berusia 36 tahun yang sedang hamil empat bulan itu, dikenali sebagai Sararat Rangsiwuthaporn, ditahan di Bangkok pada Selasa berikutan siasatan mengenai kematian seorang wanita baru-baru ini.

Ketua Polis Negara Damrongsak Kittipraphat berkata, polis percaya mungkin terdapat lebih ramai mangsa.

“Satu bilik gerakan akan ditubuhkan oleh Biro Polis Wilayah 7 untuk memudahkan orang ramai membuat laporan,” katanya pada sidang media di sini pada Khamis, lapor Bernama.

Beliau berkata, bekas suami suspek, iaitu seorang pegawai polis dan kakaknya, seorang ahli farmasi, akan dipanggil untuk disoal siasat.

Sementara itu, Timbalan Komander Bahagian Pencegah Jenayah Anek Taosupap berkata, polis mendapatkan keterangan daripada dua individu penting dalam kes itu, seorang daripadanya mangsa yang dilaporkan terselamat daripada cubaan meracun oleh suspek.

“Selain tuduhan pembunuhan terancang, polis akan mengenakan tuduhan tambahan, termasuk niat mencuri harta benda, meracun dan mencuri,” katanya.

Selain itu, katanya, polis akan menyiasat dakwaan penglibatan suspek dalam pinjaman wang dan skim piramid.

Terdahulu, ibu dan kakak mendiang Siriporn Khanwong dari Kanchanaburi memfailkan aduan yang membawa kepada penahanan suspek.

Siriporn menemani suspek untuk upacara merit, amalan Buddha yang penting, pada 14 April, namun kemudiannya rebah dan meninggal dunia di tebing sungai Mae Klong di Ban Pong, Ratchaburi.

Keluarga mangsa mengesyaki kemungkinan perbuatan khianat memandangkan anak mereka membuat perjalanan bersama suspek pada awal bulan ini.

Siasatan awal mendapati suspek dipercayai mencampurkan sianida dalam makanan Siriporn, yang akhirnya menyebabkan kematiannya.

Suspek juga didakwa mencuri barangan berharga milik mangsa.

Pada Rabu, Mahkamah Jenayah membenarkan permintaan polis untuk terus menahan suspek tanpa jaminan atas tuduhan membunuh Siriporn.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.