Gencatan senjata di Sudan lanjut 3 hari lagi

Gencatan senjata di Sudan lanjut 3 hari lagi

Perkara ini dipersetujui oleh kedua-dua pihak tentera Sudan dan RSF, menurut kenyataan masing-masing.

Konflik bersenjata yang tercetus antara tentera Sudan dan RSF pada 15 April mengorbankan sekurang-kurangnya 459 orang dan mencederakan lebih 4,000 setakat ini, menurut WHO. (Gambar AP)
KHARTOUM:
Tentera Sudan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) pada Khamis bersetuju melanjutkan gencatan senjata sedia ada, yang tamat pada tengah malam Khamis, selama tiga hari lagi, lapor Xinhua.

Komander jeneral tentera Abdel Fattah al-Burhan memberikan kelulusan awal untuk lanjutan gencatan senjata selama 72 jam lagi lewat Rabu, kata tentera dalam kenyataan.

Tegasnya, kelulusan lanjutan gencatan senjata itu dibuat secara unilateral.

Sementara itu, RSF dalam kenyataan di Twitter berkata, pihaknya bersetuju untuk melanjutkan gencatan senjata selama 72 jam lagi bermula pada tengah malam Khamis.

“Kami mengesahkan komitmen kami terhadap syarat-syarat gencatan senjata kemanusiaan, dengan mengambil kira keadaan rakyat Sudan serta bagi memudahkan pemindahan warga diplomatik dan asing,” menurut kenyataan itu.

Gencatan senjata semasa gagal menghentikan pertempuran di ibu negara Sudan, Khartoum dan wilayah lain, namun membuka peluang kepada negara asing untuk memindahkan diplomat dan rakyat mereka dari negara yang dilanda konflik itu.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, konflik bersenjata yang tercetus antara tentera Sudan dan RSF pada 15 April mengorbankan sekurang-kurangnya 459 orang dan mencederakan lebih 4,000 setakat ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.