Pejuang kuasai makmal, Sudan hadapi ‘ancaman biologi’

Pejuang kuasai makmal, Sudan hadapi ‘ancaman biologi’

Fasiliti kebangsaan itu menyimpan sampel pelbagai penyakit termasuk polio dan demam campak.

Agensi pelarian PBB menjangka sehingga 270,000 orang melarikan diri dari Sudan ke negara jiran. (Gambar AP)
GENEVA:
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata pejuang di Sudan menguasai makmal awam kebangsaan di mana sampel penyakit termasuk polio dan demam campak disimpan, seterusnya mewujudkan keadaan yang disifatkan “amat berbahaya”.

Pejuang mengusir semua juruteknik dari makmal itu yang kini dikawal penuh salah satu pihak bertelagah sebagai pangkalan tentera,” kata Nima Saeed Abid, wakil WHO di Sudan.

Beliau tidak menamakan pihak yang kini menguasai makmal berkenaan.

Abid berkata beliau menerima panggilan daripada ketua makmal kebangsaan di Khartoum, semalam, iaitu sehari sebelum gencatan senjata selama 72 jam berkuat kuasa.

Abid berkata, makmal itu menyimpan sampel pelbagai penyakit termasuk demam campak, polio dan taun.

Pengarah makmal itu turut memberi amaran beg darah berisiko rosak akibat kekurangan kuasa.

Agensi kesihatan PBB itu turut mengesahkan 14 serangan terhadap kemudahan penjagaan kesihatan setakat ini menyebabkan lapan kematian dan dua kecederaan.

Perang di Sudan melihat pertelagahan antara pihak yang menyokong ketua tentera Abdel Fattah Al-Burhan menentang penyokong bekas timbalannya Mohamed Hamdan Daglo yang mengetuai Rapid Support Forces (RSF).

Kementerian Kesihatan Sudan berkata, jumlah kematian setakat ini 459 orang dengan 4,072 dilaporkan cedera namun WHO berkata angka berkenaan tidak dapat disahkan.

Sementara itu, agensi pelarian PBB menjangka sehingga 270,000 orang melarikan diri ke negara jiran Chad dan Sudan Selatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.