PBB bimbang tindakan AS curi dengar perbualan

PBB bimbang tindakan AS curi dengar perbualan

Jurucakap António Guterres berkata membantah tindakan AS menjadikan setiausaha agung PBB dan pegawai kanannya sebagai subjek pengawasan dan campur tangan.

Stephane Dujarric selaku jurucakap António Guterres, berkata pengawasan dilakukan AS tidak konsisten dengan kewajipan negara kuasa besar itu mengenai keistimewaan dan kekebalan PBB. (Gambar AP)
NEW YORK:
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) secara rasmi menyuarakan kebimbangannya terhadap pemantauan didakwa dilakukan Amerika Syarikat (AS) ke atas Setiausaha Agung PBB António Guterres, kata jurucakap badan dunia itu, lapor Xinhua.

“PBB secara rasmi menyuarakan kebimbangannya kepada negara tuan rumah itu mengenai laporan baru-baru ini bahawa komunikasi setiausaha agung dan pegawai kanan PBB yang lain telah menjadi subjek pengawasan dan campur tangan kerajaan AS,” kata Stephane Dujarric, jurucakap Guterres.

“PBB telah menjelaskan bahawa tindakan sedemikian tidak konsisten dengan kewajipan Amerika Syarikat yang dinyatakan dalam Piagam PBB dan Konvensyen mengenai Keistimewaan dan Kekebalan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” katanya.

Washington Post pada Isnin, melaporkan bahawa menurut empat laporan sulit diperoleh akhbar itu, AS mencuri dengar dan mengumpul risikan mengenai Guterres.

Dokumen itu, dua daripadanya belum dilaporkan sebelum ini, meringkaskan perbualan yang dipintas yang memberi penerangan baharu mengenai interaksi ketua PBB dengan pegawai tertinggi PBB dan pemimpin dunia, lapor akhbar itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.